BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Isnin, 20 Julai 2009

ISRA' MIKRAJ


Minta maaf kepada semua2 pem_blogger sekalian... baru hari ini ada kesempatan nak posting yg baru, nak buat cam ane? sibuk mikir hal2 berkaitan ngn program ekpon, lagipon result prekse aku dah hampir tiba masanya... sempena kita menyambut 27 Rejab hari ini, saya nak berkongsi sedikit cerita sejarah yang dialami kepada Nabi kesayangan kita Nabi Muhammad SAW...

Apa lagi kalau bukan ISRA' MIKRAJ

Isra’ dan Mikraj adalah satu peristiwa luar biasa yang melangkaui pemikiran logik akal manusia. Peristiwa ini membuktikan KeEsaan, KeKuasaan dan KeBesaran Allah yang mencipta apa yang ada dilangit dan di bumi seluruhnya serta mentadbirnya. Mengikut Ijma’ Ulama’ bahawa mana-mana orang islam yang meragui peristiwa ini adalah maka ianya terkeluar daripada islam.

Peristiwa ini telah dirakamkan didalam Al-Quran didalam surah Al-Isra’, ayat 1: “Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda Kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Mengikut makna Istilahi ISRA’ bermaksud Perjalanan Nabi Muhammad SAW di satu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat(tidak sampai satu malam)

MIKRAJ pula bermaksud Perjalanan Nabi Muhammad SAW dari alam bawah (bumi) naik ke alam atas(langit) sampai ke tujuh langit dank e Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Pelestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy yamg menerima perintah wahyu Allah yang mengandungi perintah untuk mengerjakan lima kali solat sehari semalam.

Pelbagai riwayat mengatakan bilakah peristiwa ini berlaku secara tepat… sebahagiannya mengatakan ianya berlaku pada awal bulan Rejab, ada yang mengatakan 12 rejab akan tetapi ramai dari kalangan Ulama’ Tarikh Islam mengatakan ianya berlaku pada 27 Rejab tahun Ketiga sebelum Rasullah berhijrah.

Sebahagian riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami Baginda SAW dan pelbagai cerita dan kejadian yang aneh bermula dari awal. Pada malam itu, ketika nabi tidur di makam nabi Ismail as dekat kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib. Tiba-tiba, datang malaikat Jibrail membawanya dan membelah dadanya. Hati Baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dengan ‘khatimin nubuwwah’.

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasullah dalam perjalanan luar biasa itu dengan ditemani oleh malaikat Jibrail. Buraq berasal daripada Barq, beerti kilat. Buraq itu ailah binatnag atau kenderaan yang kelajuannya seperti kilat. Menurut ahli sains, kelajuan kilat itu sama seperti kelajuan cahaya iaitu 300,000 km/1s. Sampai di tempat tertentu iaitu seperti di Thaibah(Madinah), Bukit Tursina dan Baitul Laham(tempat nabi Isa as dilahirkan), Rasullah SAW diarah Jibrail berhenti dan melakukan solat dua rakaat. Dalam perjalanan itu juga, Baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam terus menuaikan hasil tanaman.

Baginda juga meyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur masyitah(tukang sikat rambut anak firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan manusia memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan dengan secebis kain dan golongan lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk. Apabila hendak sampai ke Hadrathul Qudus untuk bertemu Allah SWT, Baginda didatangkan Mikraj(tangga) yang indah dari syurga. Rasullahdan Jibrail naik tangga yang pertama lalu terangkatlah mereka ke pintu langit dunia(pintu Hafzhah).

Di langit pertama Nabi SAW bertemu dengan Nabi Adam as. Baginda diperlihatkan roh syuhada’ disebelah kanan Nabi Adam as dan roh manusia yang rugi disebelah kirinya. Selepas itu, di langit kedua, Baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa as. Di langit ketiga, dipertemukan dengan Nabi Yusuf as. Di langit keempat, dipertemukan dengan Nabi Idris as. Di langit kelima, bersama dengan Nabi Harun as, yang turut mengucapkan salam kepadanya. Tiba di langit yang keenam Baginda berjumpa dengan Nabi Musa as dan Nabi Ibrahim di langit Ketujuh. Di langit Ketujuh, Nabi SAW diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk. Kemudian, dari langit Ketujuh, Nabi SAW terus dibawa naik yang lebih atas iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Nabi SAW diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah Baginda juga diperlihatkan malaikat Jibrail dalam bentuk yang sebenar. Baginda juga bermunajat kepada Allah SWT dan dalam munajat itu, Baginda SAW menerima perintah supaya mengerjakan solat 50 kali sehari semalam yang kemudiannya dipendekkan kepada lima waktu sahaja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa as.

Rasullah SAW kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah SWT.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada Baginda SAW ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil masa tidak sampai semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia. Kehebatan perjalanan itu sukar digambarkan oleh logik akal manusia. Yang nyata, itulah bukti Kekuasaan Allah SWT yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Setakat ini saja yang saya boleh kongsikan kepada anda semua hari ini. Harap kepada semua pembaca sekalian dapat mengambil iktibar setakat apa yang dapat dikongsikan bersama.
Ma'aSalamah........

0 ulasan: